Nov 02, 2021 - FASSarkunan Krishnasamy, yang kini berusia 25 tahun merupakan antara pemain senior Selangor yang telah bersama Gergasi Merah sejak 2013 lagi.
Anak jati kelahiran Kajang, Selangor ini telah memulakan karier bola sepaknya bersama pasukan Belia Selangor pada tahun 2013, kemudian diserap masuk pasukan Presiden Selangor sebelum dipanggil menyertai pasukan utama Gergasi Merah pada Disember 2016.
Untuk rekod, Sarkunan merupakan antara pemain pembangunan yang berjaya mendapat kepercayaan para ketua jurulatih untuk menjadi kapten pasukan kerana memiliki karakter kepemimpinan yang tinggi bersama pasukan Belia, Presiden dan pasukan utama Selangor.
Setiap pemain muda mahu beraksi bersama pasukan utama kelab termasuk Sarkunan. Dedikasi yang ditunjukkan olehnya telah membuka peluang untuknya membuat penampilan pertama bersama pasukan senior Red Giants pada 28 Oktober 2017 sebagai pemain gantian dalam perlawanan menentang Pulau Pinang yang menyaksikan Selangor berjaya mengatasi Harimau Kumbang dengan keputusan 3-1.
Tahun seterusnya Sarkunan terus mendapat kepercayaan daripada ketua jurulatih pasukan utama Selangor untuk beraksi dalam saingan Liga Super setelah dilihat sebagai salah seorang pemain muda yang telah memberi nafas baru kepada jentera tengah pasukan Selangor.
Sehingga kini, Sarkunan berjaya melakukan 49 penampilan dan menjaringkan 1 gol untuk Gergasi Merah, selain membantu barisan pertahanan dan mengatur serangan apabila beraksi.
Sering dikaitkan dengan N'golo Kante, pemain tengah Chelsea, Sarkunan mempunyai work rate yang tinggi di dalam padang dan banyak menutup ruang pemain lawan selain memiliki teknik kawalan bola yang mampu memberi saingan terhadap pemain yang lebih berpengalaman daripada beliau.
Pemain yang sentiasa memberikan seratus peratus semasa latihan dan dalam setiap perlawanan kompetitif ini mahu terus berbakti dan ingin membalas kepercayaan ketua jurulatih di setiap peluang yang diberikan.
Selangor FC mendoakan kejayaan Sarkunan untuk musim ini bersama pasukan utama Gergasi Merah dalam saingan TM Piala Malaysia 2021. Semoga beliau terus mempamerkan aksi yang cemerlang dalam kancah bola sepak Malaysia. Semoga berjaya, Sara!
Demi kebanggaan.